Khamis, 30 September 2010

keturunan siti kelembai.


salam..oleh kerana sekarang ni byk org dok bercerita bab slot baru di tv3/tv9..SITI KELEMBAI..baik aku cari sumber mitos SANG KELEMBAI atau GEDEMBAI di internet.Sang Gedembai atau Sang Kelembai, adalah makhluk aneh seperti gergasi yang dipercayai benar-benar wujud oleh orang Melayu dahulu. Watak Sang Gedembai amat terkenal dalam cerita-cerita rakyat Melayu. Dikatakan, Sang Gedembai boleh menjelma dengan berbagai rupa. Paling menarik, Sang Gedembai dikatakan berupaya menyumpah apa sahaja yang dikehendakinya menjadi batu atau benda lain. Dalam Kamus Dewan dan Encyclopedia Malaysiana, Sang Gedembai juga dianggap dan digelar sebagai ‘hantu’. Biasanya, orang Melayu menggelar Sang Gedembai sebagai Hantu Hutan atau Hantu Galah. Gelaran Hantu Galah digunakan kerana sifat fizikal Sang Gedembai yang seperti manusia tetapi besar tinggi lebih 2 kali ganda saiz manusia.

Dalam cerita-cerita sastera rakyat, Sang Gedembai dikatakan berwajah hodoh dan berambut panjang. Sang Gedembai yang terdapat di Pahang dikatakan mempunyai bulu kening yang tebal, berhidung pesek, bertelinga gajah, bertaring dan bertubuh 3 kali ganda saiz manusia. Dia tinggal di sekitar sungai Pahang. Makanannya adalah pucuk-pucuk buluh, buah-buahan dan juga daging.

Sang Gedembai Versi Pahang

Sang Gedembai di Pahang ini dikatakan mempunyai kuasa menjadikan manusia batu jika dia menegur sesiapa sahaja. Pada awalnya, Sang Gedembai ini tidak sadar kebolehannya menjadikan benda atau makhluk batu. Kisahnya, pada suatu hari, Sang Gedembai terserempak dengan seekor gajah beserta anaknya di dalam hutan. Sang Gedembai bertanya kepada Gajah, ke manakah gajah hendak pergi. Dengan serta merta, gajah beserta anaknya bertukar menjadi batu. Kemudian Sang Gedembai meneruskan perjalanannya ke dalam kampung dan terjumpa pula dengan seorang lelaki sedang memasak. Sekali lagi, dia bertanya, apakah yang dimasak lelaki itu. Serta merta, lelaki itu menjadi batu. Dia meminta maaf kepada semua orang yang menyaksikan kajian itu dan mereka juga menjadi batu.

Suatu hari, Sang Gedembai ternampak seorang lelaki memasak bubur dengan menggunakan periuk besar untuk merayakan satu majlis perkahwinan. Lelaki itu rabun dan tidak dapat mengecam Sang Gedembai. Sang Gedembai dijemputnya ke majlis perkahwinan itu. Disebabkan takut dirinya menyebabkan orang ramai itu menjadi batu, Sang Gedembai kelam kabut melarikan diri. Dalam keadaan yang tergesa-gesa, Sang Gedembai tersandung batu lalu terjatuh menyembam bumi. Sang Gedembai terkejut dan tanpa disadarinya, telah membuka mulut dan menyumpah seranah. Serta merta juga, kesemua yang hadir di majlis itu menjadi batu. Sang Gedembai menjadi marah dengan dirinya sendiri lalu mengangkat periuk yang berisi bubur itu dan mencampakkannya ke dalam sungai Pahang. Periuk besar itu menjadi pulau kecil di tengah sungai Pahang dan hingga kini dikenali sebagai Batu Kari. Bubur dari dalam periuk itu pula tumpah ke tebing sebuah kampong. Sehingga sekarang, kampong itu dikenali sebagai Kampung Bur, singkatan pada ‘Bubur’.

Semenjak kejadian malang itu, Sang Gedembai tidak lagi bercampur gaul dengan manusia dan sentiasa cuba menghindari manusia. Sang Gedembai begitu kecewa dengan diri sendiri dan sentiasa menyumpah nasibnya. Orang ramai yang tinggal di kampung Pahang sedar tentang sumpahan Sang Gedembai dan terus diselubungi ketakutan. Akhirnya mereka berpakat untuk menghalau terus Sang Gedembai dari Pahang. Orang kampung telah meletakkan seorang perempuan tua tak bergigi ke dalam kereta sorong bayi. Mereka turut meletakkan beberapa kura-kura ke dalam kereta itu.

Apabila Sang Gedembai terlihat kereta sorong bayi itu, Sang Gedembai berasa terkejut dan takut. Sedangkan masih bayi, saiznya sudah sangat besar. Apatah lagi sekiranya sudah menjadi manusia dewasa. Tambahan pula, kura-kura di dalam kereta sorong itu menyerupai kutu-kutu gergasi.

Sang Gedembai akhirnya lari lintang pukang dari kampung manusia kerana dia menyangka manusia dan binatang telah berubah saiz menjadi gergasi dan pastinya manusia akan membunuhnya kerana memusuhinya. Sang Gedembai yakin manusia berdendam terhadapnya kerana menyebabkan rakan dan keluarga mereka menjadi batu. Semenjak itu, Sang Gedembai tidak dilihat lagi di Pahang.

Sang Gedembai Versi Langkawi

Sang Gedembai yang diceritakan dalam cerita-cerita rakyat di Langkawi pula berbeza. Diceritakan, Sang Gedembai sebenarnya seorang wanita yang cantik jelita. Gedembai Langkawi dikatakan hidup tanpa kasih sayang dan sentiasa kesepian. Sekiranya dia tidak mendapat apa yang dihajatinya, dia akan menjadi marah lalu menyumpah benda atau manusia itu menjadi batu atau apa sahaja yang disebutnya. Sebab itulah penduduk Langkawi amat takut padanya dan sentiasa menjauhinya.

Pada suatu hari, terjadi kekecohan antara Mat Raya dan Mat Cincang dalam satu majlis perkahwinan. Semasa pergaduhan itu, periuk belanga dan kuali telah dicampak sehingga melayang beratus kilometer. Kekecohan itu menyebabkan Sang Gedembai berasa terganggu dan marah. Sang Gedembai akhirnya menyumpah Mat Raya dan Mat Cincang menjadi dua gunung. Sang Gedembai kemudian tinggal di Gua Cerita. Sehingga sekarang, terdapat batu-batu menyerupai manusia sekeluarga yakni sepasang suami isteri beserta tiga anak. Di Gua Cerita itu juga terdapat perkakas rumah seperti katil, meja dan periuk belanga. Namun kini, ada di antara batu-batu itu telah diambil atau rosak dipecahkan manusia. Orang-orang Langkawi juga percaya bahawa masih terdapat bekas tapak kaki Sang Gedembai di Pulau Tuba.

Kehilangan Sang Gedembai dipercayai disebabkan kehadiran burung Garuda, seekor burung seperti helang gergasi. Diceritakan, garuda hendak menjadikan Gua Cerita tempat untuk membina istananya. Garuda turut dikatakan makhluk hebat dan berkuasa mistik. Akhirnya dipercayai, garuda berhasil menghalau Sang Gedembai dari gua itu sehingga terus tidak dijumpai lagi.

Versi lain pula mengatakan, kehadiran Nabi Sulaiman di rantau ini. Dipercayai, semua makhluk harus hormat dan patuh kepada Nabi Sulaiman. Namun Sang Gedembai yang merasakan dirinya hebat dan berkuasa, tidak mahu hormat dan patuh kepada Nabi Sulaiman. Sebaliknya, Sang Gedembai cuba menyumpah nabi Sulaiman menjadi batu tetapi gagal. Disebabkan takut, Sang Gedembai melarikan diri.Di Batu Maung Pulau Pinang, kesan tapak kaki sepanjang 33 inci yang ditemui dianggap adalah tapak kaki Sang Gedembai. Kesan tapak kaki yang sama turut ditemui di Bayan Lepas, Pulau Jerejak dan Pulau Aman. Menurut cerita orang tua-tua, tapak kaki Gedembai itu terjadi kerana Sang Gedembai yang sedang makan pucuk buluh berasa terkejut apabila melihat sebatang buluh melayang di udara. Dikatakan, seorang penduduk kampung yang sedang menebang buluh itu tidak sengaja telah menyebabkan buluh itu melayang. Sang Gedembai menyangka buluh itu adalah gergasi lain yang cuba membunuhnya. Dia melompat dengan kuat sehingga mengakibatkan berlakunya kesan bekas tapak kaki sebelah kanan.

Memandangkan kesan ‘tapak kaki Gedembai’ sudah wujud beratus tahun di beberapa pulau sekitar Pulau Pinang, penduduk berbilang bangsa di sana mempunyai pelbagai cerita dan kepercayaan tentang Gedembai, mengikut budaya masing-masing.

2 ulasan:

nina syakina berkata...

agak2, best ke jd siti kelembai tuhh??hihi

abg long berkata...

yg tu kena tanya yana